SEJARAH SEKOLAH

 SMK PUTERI TITIWANGSA | SEKOLAH GEMILANG TAHUN 2015 

"USAHA TANGGA KEJAYAAN" 


Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa (SMKPT) telah ditubuhkan pada Januari 1969 dengan nama Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Perempuan) Jalan Temerloh.

Oleh kerana pada masa itu belum ada bangunan sendiri, sekolah ini terpaksa menumpang di Sekolah Menengah (Lelaki), Jalan Temerloh (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa) dari tahun 1969-1972. Apabila bangunan untuk sekolah ini telah siap dibina pada tahun 1973, pelajar-pelajar yang menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa berpindah ke sekolah sendiri dan sejak itulah bermulalah sejarah perkembangannya sendiri. 

Pada masa penubuhannya, sekolah ini hanya ada satu sesi persekolahan sahaja dan bahasa pengantarnya ialah Bahasa Inggeris. Pada tahun 1983, nama sekolah ini ditukar dengan rasminya kepada Sekolah Menengah Puteri Titiwangsa, bersempena dengan kedudukannya di Taman Tasik Titiwangsa. Pemilihan ini hasil perbincangan di antara Puan Norlia Haji Ali (Pengetua) dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Nama sekolah ini telah mendapat sambutan yang baik daripada pihak ibu bapa, guru-guru dan pelajar-pelajar. 

Nama yang dipilih itu mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Perkataan "Puteri" bermaksud Anak perempuan raja. Jadi, "Puteri" melambangkan sifat kewanitaan kerana pelajar-pelajar sekolah ini terdiri daripada perempuan sahaja. Perkataan 'Titi' pula melambangkan sebuah jambatan bagi pelajar-pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Seterusnya "Wangsa" bererti "keluarga diraja" yang melambangkan kekuatan, perpaduan dan kerjasama di antara para pelajar. 

Bertolak dari pengalaman awal dan cabaran yang semakin rumit untuk ditangani, Sekolah Menengah Puteri Titiwangsa terus mengorak langkah ke hadapan berbekalkan sejuta keyakinan, seribu harapan dan kesungguhan serta kerjasama yang kental menuju kecemerlangan selaras dengan cita-cita yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara dan seiring dengan matlamat Wawasan 2020.


Misi : Melahirkan pelajar gemilang dari segi Akademik, Kokurikulum, Sahsiah, ICT sesuai dengan potensi diri, aspirasi dunia pendidikan dan berupaya menghadapi cabaran global.